7.4.13

Jatuh Dan Bangun, Jatuh Semula?

Manusia tidak terlepas dalam menempuhi kekecewaan dalam kehidupan. Bentuknya yang pelbagai, ujian yang diberikan mengikut tahap keimanan masing-masing. Begitulah nilai yang harus dijamah oleh kita sebagai insan. Pepatah Arab cuba berkata dengan positif, hanya orang gila yang kosong dengan masalah. Kita jatuh dan kalah dengan ujian, kita tewas dengan kemaksiatan, tidak serik, kita ulang dan ulang ia. Maksiat, kelazatan yang tak terperi, itulah manisan yang nampak di mata apatah lagi sememangnya berbekas di hati kita. Kita jatuh dan kekal aktif dalam arena kemaksiatan, berlumba siapakah yang paling dominan kejahatannya. Itu karakter kejahatan yang ada juga pada kebaikan. Hasad dengki, marah, benci, mengumpat, mata, telinga, mulut, perkataan, perbuatan, semuanya punyai nilaian di sisi kita dan orang lain.

Menemani diri, sambil mendengar lagu Fursan-Keinsafan Diri, lirik yang lembut ditutur tapi sangat halus menikam pendengarnya. 'Betapa rimbunnya dosaku, semua terlakar di lembah usiaku'. Dosa dan noda yang begitu rendang merimbun, semuanya terkumpul sepanjang usia. Manusia manakah yang suci daripada dosa dan maksiat. Sedangkan ulama yang begitu berilmu seringkali dijentik barah keegoan dan kesombongan, apatah lagi kita yang manusia biasa ini. Maksiat menjadi rutin harian yang tanpanya kita lemah tubuh badan. Kejahatan dan dosa telah sebati mengalir dalam pembuluh darah. Di celahan kecamuk konflik ini, kita tahu ada yang sedang berusaha untuk lakukan sesuatu.

Setelah jatuh, bangun lah teman akrabnya. Hatta manusia yang mati, bangunnya juga ada iaitu di akhirat kelak. Bangun yang ingin dimaksudkan di sini adalah islah, iaitu usaha untuk membaik pulih semula kerosakan yang telah melanda diri kita. Kita mula rapat dengan Ilahi dan apa sahaja yang dirasakan ianya islamik. Masjid, jubah, serban, tasbih, tazkirah, kuliah, ana, anta, antum, astaghfirullah, subhanallah, dan lain-lain. Berdikit cuba menghirup mencari kemanisan iman walaupun di kala solat fikiran memikirkan di mana letaknya kunci motor, bilakah perlawanan bola sepak, salah tajwid yang dibaca oleh imam, dan pelbagai lagi imej yang munculnya hanya waktu solat. Tenang dan tidak diganggu oleh suara lain. Ya, memanglah, dah tak khusyuk. Begitu parah kita merasuah minda kita dengan berangan di kala berhadapan dengan Tuhan. Ya, kita tidak lagi merasa Tuhan di hadapan. Kalaulah di kala solat pun tidak merasa kehadiran Tuhan, di luar solat bagaimana pula? Itulah tiang agama, benda yang paling asas, paling fundamental.

Begitulah usaha seorang pemaksiat yang ingin bangun, kembali pada Tuhannya yang tidak pernah 'jatuh' mengurniakan rezeki kepadanya. Lemah sungguh kita ini. Buat maksiat suka-suka, taubat suka-suka, lepas tu suka-suka buat maksiat semula. Hidup itu suka-suka, suka-suka untuk hidup, lepastu malaikat maut memang suka nak ambil nyawa kau semula. Habis riwayat. Itulah laras yang ingin dibawa oleh tajuk di atas, jatuh, bangun, kemudian jatuh semula. Lemah manusia. Jika lemah syahwat, heboh satu rumah, lemah akademik, habis semua tuisyen ditempah, lemah otak, diratah kesemua kismis minda yang ada tapi jika lemah iman, boleh disimpan sebagai draf dulu. Boleh difikirkan esok hari. Oh, terlupa, mati juga sememangnya boleh ditangguh, begitu ke? Benar kata Imam Al-Ghazali, bahagia yang sebenar adalah apabila kita dapat merasai kecintaan terhadap Allah, kita tunai perintah Dia, dan kita jauhi segala laranganNya. Dalam Tasauf Moden, Buya Hamka membuat beberapa penelitian terhadap beberapa pandangan sarjana Barat serta perbezaan di antara kesemua pendapat. Sememangnya manusia menagih kebahagiaan dan sekiranya ia ditafsirkan secara akal sahaja, kita tidak akan ke mana-mana, bahkan tersesat mencipta angan sendiri. Nafsu tidak pernah puas!

Akalku begitu bermudah semacam menghina manusia yang ingin kembali kepada Tuhan. Sebenarnya, aku sedang menghina diriku sendiri. Seorang teman pernah berpesan, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Ya, itu sebenarnya pesan Yang Maha Agung, yang takkan pernah mengecewakan para hambaNya. Jatuh bangun yang berulang kali tidak mampu mengusik pintu taubat yang masih terbuka luas. Kini manusia setia mengira bulan Ramadhan yang semakin hampir, Aku termenung, mampukah aku menjadi lepasan tarbiah Ramadhan. Ujiannya sangat berat, apatah lagi buat diriku yang lepasan sekolah 'jatuh-bangun-jatuh', sudah tentu perlukan persiapan yang mencukupi untuk menjengah di jendela Ramadhan. Akhir karutan, jatuh bangun umpama teman setia, tanpa salah satu, kita akan jadi terlalu bangga atau terlalu kecewa dengan roda kehidupan ini.



No comments:

Post a Comment