26.5.11

Getus Hati

Selesa Merasuk Engkau

Minda kita terleka
Minda kita terlena
Minda kita terpana
Minda kita ternoda

Kalimah itu datang menjengah
Mencari kelibat sang huffaz
Tatkala kalimah mula menyergah
Selesa menghinggap sang huffaz

Selesa sungguh sang huffaz
Hebat sungguh sang huffaz
Berani sungguh sang huffaz
Pemimpin sungguh sang huffaz

Manakan tidak suaranya merdu
Mengalahkan bulan buluh perindu
Ilmu di otak bersimpang siur
Lidah tajam mencela satu persatu

Sedarlah wahai penanggung kalam
Fikirkanlah wahai penanggung kalam
Caknalah wahai penanggung kalam
Bangkitlah wahai penanggung kalam

Umat ditindas kita menculas
Ulama membisu kita berlagu
Islam dihenyak kita terleka
Nabi disindir kita berleter

Wahai huffaz,jangan merasa selesa
Sang pencatit setia meninta
Setiap derap langkahmu,hela nafasmu
Gerak geri sendimu,keselesaanmu



Datang malaikat menuntut sesuatu
Apakan tidak,huffaz!
Selesa sungguh datang menyinggap
Membiarkan masyarakat penuh songsang
Tanpa ada pembimbing yang jelas

Huffaz,fikir sejenak
Menitis sebentar air matamu
Mengoreksi diri,mencari Ilahi
Temukan tidak,atau siulan budak-budak

Pandai mengampu,pernah menipu
Tidak mampu,berhujah musuh
Musuh bangga dengan hujahnya
Engkau masih meraba cahaya 

5.5.11

Badai ' Comfortable Zone' Mahasiswa

Mata saya pantas melirik laju setiap artikel yang dikarang oleh pelbagai mahasiswa.Meneliti dan menatap segala program dan aktiviti yang dijalankan serta dilalui oleh mereka mulai mengundang minat.Apakan tidak,tindak tanduk mereka melambangkan status semasa yang disandang,mahasiswa! Sungguh hebat gelarannya yang disandangnya,ditambah pula dengan "maha".Menyantuni sebentar Kamus Dewan Edisi Keempat,meneliti maksud maha,ianya bermaksud tertinggi atau teramat,Hebatkah kita? Saya pernah terbaca beberapa artikel siswa lepasan Darul Quran,beliau merasakan begitu malu untuk menggunakan perkataan mahasiswa dek realiti yang berlaku sekarang.

Saya yakin kalian pasti sudah masak dan lali dengan perangai mahasiswa pada hari ini.Dari lagak sombongnya sehinggalah tabiat membuang masanya.Sedangkan mahasiswa di negara lain sedang bertungkus lumus dan berhempas pulas mencari penyelesaian dalam konteks bagaimana hendak mengatur situasi dunia dari aspek ekonomi,alam sekitar,masyarakat dan sebagainya,kita pula asyik sibuk mengunyah akhbar yang dirasakan agak membosankan jika tidak ada berita ‘gembira’ tentang pembuangan bayi.Kami prihatin!Diganti pula dengan berita-berita lucah dan fitnah,alahai.

Aduh! sangatlah ‘maha’siswa kita. Menjadi juara di atas pentas selesa,tanpa bergulat secara total dalam menangani masalah masyarakat.Saya tertarik dengan ungkapan  yang diluahkan oleh Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyah rah. di dalam bukunya “Pesan-pesan Spritual”,beliau berbicara “Manusia yang paling bermanfaat bagimu ialah manusia yang mementingkan dirimu daripada dirinya sehinggau engkau dapat menanam kebajikan dan melakukan makruf kepadanya”.Janganlah kita menjadikan ungkapan mahasiswa menjadi  sekadar cuma ungkapan kebanggaan,tanpa berpijak pada bumi yang nyata.Ah! retorik semuanya,ataukah kalian terasa pedih menikam dengan ancaman sebegini rupa.Tidak mengapa,saya berlapang dada untuk menerima sebarang kritikan yang membina.

Namun saya tidak berniat ingin menikam sesiapa,sekadar lontaran muhasabah yang kadang-kadang ianya perlu pedas dan berbisa agar meresap di dalam benak fikiran dan dada.Seusai bertikam,solusi tampil menawarkan diri.Mahasiswa pada hari ini perlu lebih cakna terhadap isu-isu semasa,menambahkan bahan bacaan,berpartisipasi dalam pelbagai program dan sebagainya.Tidak dinafikan di antara para mahasiswa yang masih keliru membeku fikirannya mengenai kepentingan untuk sama-sama bercakna terhadap sebarang permasalahan dan perselisihan besar yang timbul.Mereka sekadar setia menatap helaian-helaian suci Kalamullah tanpa niat yang tulus untuk menginterpretasi makna-makna yang terkandung di dalamnya seribu macam hikmah.Hanya ingin merasa selesa sepanjang masa tanpa cuba untuk memerah keringat dan otak daripada bekerja demi agama.Yang sedar akan kepentingannya tidak boleh menghukum,bahkan menjadi beban pikul untuk sama-sama menyedarkan dan menarik tangan yang lain.

Terkadang manusia keliru antara yang benar dengan yang batil.Kadangkala sisi gelap perlu dirasai barulah sisi cahaya datang menyantuni.Terkadang manusia merasakan diri mereka lebih hebat daripada yang lain.Kadangkala diri ini juga merasa hina dek kerana dosa yang sentiasa membelenggu diri.Kendatipun begitu,rahmat Allah sentiasa mengiringi orang yang ingin berubah ke arah jalan yang lurus tiada simpang siurnya.Mana mungkin umur yang dijalani mahu dihabiskan begitu sahaja.Pasti ada sesuatu yang ingin dilakukan dengan penuh perasaan tanggungjawab dan bermanfaat.Perasaan selesa mahasiswa mampu mengundang pelbagai masalah yang kian realistik dengan peristiwa akhir zaman

Tangan masih ligat menaip.Ada sesuatu mesej yang ingin disampaikan.Namun kerana  bahan bacaan yang kurang bermutu,malas,culas,kurang ambil tahu hal dunia luar dan natijahnya.hasil tulisan yang dihasilkan tidak dapat menyentuh sanubari pembaca.Rata-rata masyarakat pada hari ini lebih cenderung untuk memilih bahan bacaan yang kurang bermutu atau picisan.Saya cuba meneliti ungkapan sejarawan Rom,Plinius yang berbunyi “Sejelik manapun sebuah buku,pasti ada manfaatnya”.Apabila direnungi semula maksud ungkapan tersebut,saya berpendapat bahawa apabila sesebuah buku (bahan bacaan) itu sudah jelik atau tidak bagus,sudah tentu kita dapat menyedari sejak awal melihat kulit buku tersebut.Memanglah pepatah bahasa Inggeris ada menyebut ‘Don’t judge a book by its cover’,tetapi saya cuba memandang dari sudut yang berbeza.Apakah sesuatu buku yang kulitnya tidak menarik mampu menarik membaca membelek helaian demi helaian sehingga habis? Jika orangnya berfikiran tinggi,pasti dia terus membelinya dek dahaga akan ilmu pengetahuan.Amanah yang ditanggung sememangnya banyak,semakin hari semakin bertambah.

Sudah tentu manusia tidak mampu menanggungnya seharian tanpa bantuan orang di sekeliling.Gunung ganang sudah menolaknya,manusia dengan bangga datang menawarkan diri.Nafsu sibuk menduga diri,namu tiada siapa tahu akan isi hati ini.Sekadar membaca bacaan Islamik tanpa usaha yang berterusan sudah tentu mengundang kekalahan yang besar dalam menghadapi arus gelojak syahwat dan sebagainya.Berasa cemburu terhadap orang yang berada di sekeliling,manakan tidak.Tidak pernah menyentuh satu maksiat pun dalam hidup mereka.Ya Allah,bantulah kami semua dalam menghadapi segala dugaan hidup ini,berilah kami kekuatan untuk melawan kuasa nafsu yang seakan-akan hebat ini.Buat permulaan,sekadar inilah perkongsian saya yang lemah dan naif ini.Lontaran yang dikemukan di atas,harap saya semoga ianya dapat menjadi suatu anjakan pemikiran bagi diri saya sendiri dan kalian.Wallahualam.