16.11.12

Muhasabah Buat Diriku

Aduh, pagi tadi diri ini sekali lagi telah dihentam oleh murobbi. Kawan di sebelah mengatakan, ini adalah suatu tembakan tepat di kepala. Tak boleh baca kitab Arab, lemah akademik, hafazan hancur, yang diingat hanyalah awal maqra,awal juzu, dan awal surah sahaja, sibuk dengan persatuan, program, demonstrasi, aktivis dakwah dan lain-lain. Mudah bicara, segala-galanya tidak berjalan dengan lancar. Teguran dan kritikan yang pada awalnya lembut menikam sehinggalah tajam menghujam. Membuatkan diriku termenung panjang, tersenyum tawar, mengangguk benar.

Tetapi, aku ucapkan ribuan terima kasih kepada murobbiku ini kerana telah memberi teguran yang ikhlas dan jelas. Aku lebih rela menghadapi keadaan sebegini daripada menghadapi entiti yang hanya datang kelas, buka kasut dan kitab, menterjemah dan mensyarah, soal jawab, dan tutup kitab, pakai kasut, balik rumah, selesai. Tanpa ada pesanan atau mutiara kata dari orang yang makan garam lebih awal, tiada nasihat pelembut hati, tiada teguran mengetuk aqal, apatah lagi lawak jenaka yang bisa menghidupkan suasana dalam kuliah. Aku harus akui, beliau merupakan antara murobbi terbaik yang pernah aku jumpa.

Aku bersetuju dengan hampir kesemua teguran yang diberikan. Walaupun malu dan kecewa, tetapi aku harus berlapang dada,mengakui kesalahan,merendahkan ego dan sentiasa memperbaiki diriku. Mana mungkin seorang murobbi beri nasihat dengan niat untuk menyakiti, pasti dia mahukan kita menjadi yang terbaik dalam kalangan orang-orang kebanyakan pada hari ini. Dia tidak mahu kita menjadi mandul ataupun perogol kepada ummah yang semakin lemas diliwat kejahilan dan bebalisme. Murobbiku mengajar agar kita menjadi orang yang ada ilmu, punyai kehebatan untuk disumbangkan kepada masyarakat kelak. Al-Quran di dada bisa menjadi modal untuk berbangga pada gambaran yang zahir sahaja, pada batinnya hitam pekat disaluti dosa-dosa.

Kelemahan pada diriku telah membawa kesan yang buruk pada amanah yang aku sandang. Amanah menjadi hina apabila dipegang oleh orang yang hina seperti diri aku. Aduhai, dosaku berlipat ganda hanya Allah sahaja Yang Mengetahui. Pengurusan diriku menjadi tidak menentu. Adakah amanah ini semakin dibenci sehingga orang mahu melarikan diri dan tidak mahu terlibat dengannya lagi. Aku doakan semoga Allah membimbing diriku untuk aku memilih jalan yang diredhaiNya. Dan aku doakan agar Allah melindungi murobbiku ini dan seluruh keluarganya, agar dia masih teguh berdiri untuk membimbing kami, memberi teguran kepada kami, dan bergurau dengan kami. Jasa seorang murobbi mana mungkin dibanding dengan usaha seorang anak didik. Kilometer yang berpuluh takkan sama dengan puluhan meter dan kaki. Itulah mahar pendidikan.

Malu untuk aku luahkan, tapi sudi untuk aku kongsikan. Aku cuba tekad erat menanam azam untuk menambah ilmu, memperbaiki kelemahan hafazan dan bahasa Arab serta pengurusan diriku. Aku mahu sumbang sesuatu untuk generasi akan datang. Bekalan menghadap penghakim padang Mahsyar, di kala ribuan ulama beratur dengan kitab-kitab karangan mereka, aku cuma tertunduk hina dalam keadaan tidak berpakaian, berangan untuk meneguk di titisan Kausar, indahnya angan-angan si pengkhianat amanah. Diri  dilumuri darah dosa dan noda, hancing bau terpinggir pada pandangan makhluk alam, apatah lagi penciptanya. Akhir perkongsian, perkara ini aku gazetkan di alam maya agar aku sentiasa mengingati nasihat murobbiku, menghargai hikmahnya, dan aku berharap aku mampu membalas jasanya dengan menghadiahkan kejayaanku padanya suatu hari nanti, insyAllah. Ya Allah, tutupilah aib murobbiku daripada pandanganku dan jangan Engkau hilangkan keberkatan ilmunya terhadap aku. Amin.

16.11.12/2.40PM
               

Tidur Yang Lena Terganggu

Apa perasaan kita apabila sedang tidur lena, tiba-tiba ada orang cubit punggung. Mesti rasa marah dan tidur kita sudah terganggu. Tidur yang lena boleh disamakan dengan peribahasa “Orang mengantuk disorongkan bantal”. Tapi apa yang aku cuba bawa pada penulisan ini adalah tidur yang dimaksudkan adalah fikiran dan perasaan. Ya, fikiran dan perasaan yang dahulunya aman dan tenteram kini terganggu. Aku sudah mulai keliru antara tidur yang lena dengan tidur yang tidak lena. Adakah tidur yang lena merupakan suatu zon selesa yang patut dielakkan atau kita semua memerlukan tidur yang tidak lena agar kita tidak berada dalam kelalaian. Sudah tentu tidur dan fikiran/perasaan tidak boleh disamakan dengan keadaan realiti.

Beginilah keadaan yang sedang aku alami, aku mengalami fikiran dan perasaan yang sangat tidak selesa. Seolah-olah apa yang aku buat semuanya salah dan aku harus sentiasa mengikut telunjuk dan arahan orang. Adakah aku telah menjadi pak turut? Atau aku sebenarnya telah menghargai dan meraikan kebebasan berpendapat dan kebebasan dalam bertindak untuk orang lain. Sudah tentu aku keliru dalam memahami kebebasan yang sebenar lantaran pembacaan aku yang sangat sedikit dan superficial. Jadi aku tidak boleh wewenang menghukum orang, yang tinggal pada diriku hanya kepercayaan. Aku tidak suka memaksa orang menerima pendapat aku. Cuba bayang, kita paksa orang yang tidak sakit perut untuk berak cair, sudah tentu ianya mustahil. Untuk analogi yang lebih selesa dan tidak memualkan, carilah sendiri.

Kepenatan,keserabutan,ingin melarikan diri,permusuhan, semuanya bercampur baur dalam pemikiran aku. Ironinya, perasaan sebegini biasa dihilangkan oleh tidur yang lena. Oh, tidur yang lena ada kaitan dengan masalah aku sebenarnya. Ataupun tidak, tidak pasti. Atau bagaimana. Setiap orang ada impian dan kemahuan, aku juga begitu. Aku mahu berada di sebuah pulau yang asing, yang ada hanya aku dan teman-temanku iaitu buku-buku milikku yang semakin berhabuk di raknya. Aku mahu mendapat sebanyak mungkin maklumat agar segala apa yang aku lontarkan ada asasnya, ada sumbernya, ada benarnya, tiada sangkaan sahaja. Di celahan itu, harapan aku agar semua dapat bersatu, kita letak tepi perbezaan, kita hilangkan ego dan dendam, yang tinggal hanya kita dan keamanan. Agar insan lain bisa menghirup kemahiran dan kebolehan kita. Di sini, kita di atas, orang awam di bawah. Jika kita lalai, di sana kita bakal duduk di paling bawah. Bezanya bukan sahaja atas dan bawah, akan tetapi bezanya sementara atau kekal selamanya. Di sini adalah dunia, di sana akhirat jua.

Aku ingin berkawan dengan semua, agar semua ceria. Aku senyum melalui senyuman kawan-kawan aku dan aku gelisah jika mereka gelisah. Semua kita sama, bezanya cuma taqwa dan juga iman di dada. Aku cuba lakukan apa yang aku terdaya untuk merapati semua, moga Allah memandang walau secebis cuma. Kerana banyak urusan aku denganNya tidak selesai dan Dia sudah tentu memurkai aku. Bukankah begitu? Tidur aku akan lena jika mereka semua tiada sangkaan, tiada dendam, mudah berkawan, saling bersenyuman, berpimpinan tangan, erat bergandingan. Aku tidak kontradiksi pada perubahan, jika ianya baik, bagus sahaja. Kita harus saling menolong dalam kebaikan. Ataupun kebaikan itu hanya ditafsir sesuka hati manusia. Tidak mengapa, bagiku ini sudah baik, kamu bukan Nabi atau wali. Kita semua akan rugi dan letih, jika tidur tidak lena.
15.11.12/9.53PM

14.11.12

Meneruskan Perjalanan

Kini kita sudah memasuki tahun baru Islam, iaitu 1 Muharam 1434H bersamaan 14 November 2012. Sudah tentu tahun baru ini disambut dengan pelbagai gaya sambutan di serata dunia bagi menghayati sirah yang telah dilakar oleh generasi terdahulu. Setiap daripada kita mesti telah memasang azam baru dan target yang ingin dicapai. Harapnya masing-masing sentiasa berusaha untuk berlumba-lumba ke arah kebaikan dan meninggalkan maksiat yang bersarang di dalam diri.

Saya tertarik dengan ayat Al-Quran ini, “Dan barang siapa berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu untuk dirinya sendiri. Sungguh, Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam” (Surah Al-‘Ankabut : 6). Ayat ini secara literalnya menggambarkan bahawa kita mendapat sesuatu setimpal dengan apa yang telah kita korbankan. Jika kita berusaha keras, hasilnya pasti memuaskan. Jika kita culas dan malas, hasilnya sekadar cukup makan. Kita berubah jika kita mahukan ia. Seiring dengan ayat Al-Quran ini, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri…” (Surah Ar-Ra’du : 11). Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Allah mengajar kita untuk tidak bermalas-malasan dalam melakukan sesuatu. Orang yang malas selalunya akan rugi. Jadi dalam menempuh perjalanan pada tahun baru ini, kita seharusnya mempunyai rangka atau sistem yang tersusun agar angan-angan yang telah dipasang tidak surut berlalu begitu sahaja. Saya secara peribadi berazam untuk tidak lagi beralasan dalam menuntut ilmu. Pembacaan harus semakin bertambah dan berkembang. Ukhuwwah antara sahabat-sahabat juga perlu dieratkan agar kita semua dapat bersatu dalam melakukan kebaikan. Ditambah pula beberapa isu yang melanda di negara kita pada hari ini sangat memerlukan pertimbangan dalam memilih pendapat yang benar dan seiring dengan kehendak Islam.

Antara isu yang giat dibicarakan pada hari ini ialah, isu kebebasan beragama,hudud,Islam Liberal dan lain-lain. Pelbagai pandangan dan idea dilontarkan secara ilmiah, lontaran provokasi kadang kala mencemari juga wacana yang disajikan.Apa-apa pun, anak muda harus punyai pemikiran yang kritikal dalam menghakimi setiap hujjah dan tidak fanatik pada mana-mana organisasi. Didoakan agar wacana ini dapat dikendalikan dengan harmoni seiring dengan roh Hijrah Baginda SAW yang membawa keamanan di bumi Madinah. Di sanalah Baginda SAW menyambung silaturrahim di antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj, juga di antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar. Pemikiran harus semakin matang apabila kita melangkah ke suasana Hijrah yang baru dan segar.

Sebagai intiha, ayuh kita sama-sama meneruskan perjalanan ini dengan membawa semangat berbekalkan keazaman untuk menjadi lebih baik dari semalam, lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Mohon maaf kerana blog ini yang saya kira semakin berhabuk, tiada pengisian dan lontaran perbincangan yang segar. Moga-moga tahun baru ini mampu mengetuk sendi-sendi saya agar tidak lalai dalam melakukan perkara kebaikan. Mari bersama kita meneruskan perjalanan.