14.11.12

Meneruskan Perjalanan

Kini kita sudah memasuki tahun baru Islam, iaitu 1 Muharam 1434H bersamaan 14 November 2012. Sudah tentu tahun baru ini disambut dengan pelbagai gaya sambutan di serata dunia bagi menghayati sirah yang telah dilakar oleh generasi terdahulu. Setiap daripada kita mesti telah memasang azam baru dan target yang ingin dicapai. Harapnya masing-masing sentiasa berusaha untuk berlumba-lumba ke arah kebaikan dan meninggalkan maksiat yang bersarang di dalam diri.

Saya tertarik dengan ayat Al-Quran ini, “Dan barang siapa berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu untuk dirinya sendiri. Sungguh, Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam” (Surah Al-‘Ankabut : 6). Ayat ini secara literalnya menggambarkan bahawa kita mendapat sesuatu setimpal dengan apa yang telah kita korbankan. Jika kita berusaha keras, hasilnya pasti memuaskan. Jika kita culas dan malas, hasilnya sekadar cukup makan. Kita berubah jika kita mahukan ia. Seiring dengan ayat Al-Quran ini, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri…” (Surah Ar-Ra’du : 11). Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Allah mengajar kita untuk tidak bermalas-malasan dalam melakukan sesuatu. Orang yang malas selalunya akan rugi. Jadi dalam menempuh perjalanan pada tahun baru ini, kita seharusnya mempunyai rangka atau sistem yang tersusun agar angan-angan yang telah dipasang tidak surut berlalu begitu sahaja. Saya secara peribadi berazam untuk tidak lagi beralasan dalam menuntut ilmu. Pembacaan harus semakin bertambah dan berkembang. Ukhuwwah antara sahabat-sahabat juga perlu dieratkan agar kita semua dapat bersatu dalam melakukan kebaikan. Ditambah pula beberapa isu yang melanda di negara kita pada hari ini sangat memerlukan pertimbangan dalam memilih pendapat yang benar dan seiring dengan kehendak Islam.

Antara isu yang giat dibicarakan pada hari ini ialah, isu kebebasan beragama,hudud,Islam Liberal dan lain-lain. Pelbagai pandangan dan idea dilontarkan secara ilmiah, lontaran provokasi kadang kala mencemari juga wacana yang disajikan.Apa-apa pun, anak muda harus punyai pemikiran yang kritikal dalam menghakimi setiap hujjah dan tidak fanatik pada mana-mana organisasi. Didoakan agar wacana ini dapat dikendalikan dengan harmoni seiring dengan roh Hijrah Baginda SAW yang membawa keamanan di bumi Madinah. Di sanalah Baginda SAW menyambung silaturrahim di antara Bani ‘Aus dan Bani Khazraj, juga di antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar. Pemikiran harus semakin matang apabila kita melangkah ke suasana Hijrah yang baru dan segar.

Sebagai intiha, ayuh kita sama-sama meneruskan perjalanan ini dengan membawa semangat berbekalkan keazaman untuk menjadi lebih baik dari semalam, lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya. Mohon maaf kerana blog ini yang saya kira semakin berhabuk, tiada pengisian dan lontaran perbincangan yang segar. Moga-moga tahun baru ini mampu mengetuk sendi-sendi saya agar tidak lalai dalam melakukan perkara kebaikan. Mari bersama kita meneruskan perjalanan.

No comments:

Post a Comment