30.1.15

Genap Setahun Pemergianmu

Bondaku,
Sudah sepurnama engkau pergi
Tinggal aku bongsu sendiri
Rindu hati tidak terperi
Ingin berharap dikau kembali
Ibuku,
Maseh terkenang memori lalu
Saat kita bersama dulu
Erat tangan mengharung liku
Dimarah ditegur aku membisu
Ummiku,
Kita pernah saling menangis
Petang hari saat gerimis
Kisah terpencil tidak laris
Pengalaman pahit sangat menghiris
Mamaku,
Moga dikau tenang di sana
Doaku hantar sepanjang masa
Dunia asing moganya syurga
Hari anakanda bakal tiba
Al-Fatihah buat ibu,
Hajjah Barkeh bt. Shikh Sa'id.

Sekelumit Rindu

Alam gelita kembali ceria
Kelahiran Baginda disambut gembira
Insan terpilih keturunan mulia
Yang terpuji Muhammad namanya
Akhlak mulia disanjung tinggi
Sifat molek tentunya dihormati
Pemikiran bijak disulam berani
Karakter wajib pada Nabi
Hadirmu sungguh rahmat alam
Disaat umat dilanda kelam
Terbit cahaya tenggelamnya zulam
Hamba merdeka terhapus muram
Umat bersengketa saling mencela
Mencari kebenaran disalut ternama
Andai Baginda masehnya ada
Pasti Rasul sangatlah duka
Rindu kami akan wajahmu
Pilihlah kami senarai syafaatmu
Beribu tahun sudah berlalu
Moga syurga tempat bertemu.

Seberang Sana

Merentas lelah segenap daerah,
Dari Mu'tah terhinggap Aqobah, 
Hati panas nan marah, 
Seberang sana Israel laknatullah.

30.8.13

Ramadhan 2013

Saat aku sedang menaip tulisan ini, aku telah selesai mengemas beg dan barang keperluanku. Alhamdulillah, selesai dan tamat tugasku menjadi imam terawih di Sungai Sekamat, Kajang. Malam ni aku akan bertolak ke Pasir Puteh dan tiba di sana pada pagi raya. Sepanjang bulan yang mulia ni, banyak ujian dan cabaran yang aku alami. Betapa perit dan cekal saling berlawan dalam dadaku. Dimulai pada saat pra-Ramadhan dan majlis konvokesyen, aku mendapat berita ibu masuk kembali ke dalam wad, luluh hati hanya Allah yang Maha Mengetahui, di saat jiwa sudah tawar untuk masuk ke dalam dewan, ibuku menelefon dan memberi semangat. Subhanallah, seorang ibu mampu menjadi pejuang yang sebenar walaupun sedang terlantar di dalam wad. Jatuh perasaan dan semangat tidak mampu dikongsi pada semua orang. Benar, ujian yang kita lalui mematangkan kita, ia membuatkan kita lebih tua. Moga dijauhkan segala penyakit dalam tubuh badan.

Usai majlis, pada malamnya aku segera menyimpan barang dan bertolak pada malam itu juga dengan menaiki bas. Bergurau senda dengan sahabat dengan meminta wang belanja daripada mereka, tak ku sangka, hampir 6 orang yang menghulurkan wang kepadaku, hatiku menangis, apakah ini ya Allah? Kemanisan ukhuwah terasa bukan pada nilai wang itu, akan tetapi tangan yang menghulur dan jiwa mereka yang memahami keperitan membuatkanku rasa kembali bersemangat untuk meneruskan hidup ini. Alhamdulilah, 2 orang rakan sudi menemani untuk menghantarku ke stesen ktm yang terletak di tanjung malim. Ya Allah, saksikanlah kemurahan hati sahabat-sahabatku, temukan kami di dalam syurga nanti, amin. Saat hendak beredar, seorang lagi rakan menghulurkan wang, aku menolak dengan tegas, tetapi dia mula bermasam muka. Aduh, provokasi tak bertempat, aku mengambil lalu memeluknya. Mungkin kalian tidak tahu, mereka ni antara yang agak nakal pada pandangan orang, tapi jika kita benar-benar mendekati dan memahami, percayalah, kebaikan mereka akan menenggelamkan sedikit kekurangan yang ada.

Tiba di Pasir Puteh pada subuh hari, tidur yang lena membuatkanku terlajak perhentian, berhenti di tengah jalan, solat Subuh di stesen minyak yang  berhampiran, sambil menadah tangan mengadu kepadaNya segala jerih dan payah. Aku menaiki bas awam, turun di pekan, kemudian mengambil teksi untuk sampai ke Hospital Tengku Anis. Tiba sahaja dalam wad, lantas aku menyerahkan diploma aku kepada ibuku, beliau buka, baca dan terus cium. Bangga agaknya. Bagiku, itulah majlis konvokesyen ku yang sebenar, tanpa VIP, tanpa makanan yang lazat, tanpa pendingin hawa, yang ada cuma beberapa jururawat yang kadangkala memandang kami penuh keraguan, sifat ingin tahu agaknya. Aku tidak lama di sana, sangat sedih, gila, meninggalkan ibu seorang diri dalam wad, semata untuk melangsaikan tugas di negeri lain. Tapi, kalaulah kalian tahu betapa beratnya amanah, betapa pentingnya kepedulian terhadap gerak kerja, betapa peritnya ke sana sini tanpa wang yang cukup, insya Allah.

Masa yang ditentukan, aku bergerak Kajang untuk memulakan tugas imam terawih sana, tanpa ku sangka, sememangnya aku tiba sangat lewat dan dalam keadaan kelam kabut. Sedangkan pada malam itu tugas aku bermula, tiba di rumah, dengan keadaan fizikal dan mental yang tak berapa stabil, aku segera menyarungkan jubah baru dan segera ke surau Madrasatul Ummahat. Alhamdulillah, tugas pada malam itu selesai walaupun ade beberapa kelemahan yang aku sesalkan akibat tidak membuat persiapan yang awal sebelum memulakan tugas. Malam itu sangat keletihan, alhamdulillah, kemudahan yang disediakan sangat selesa, macam masuk hotel pula. Hanya syukur dan lafaz terima kasih yang tidak terhingga, itu yang ku mampu balas kembali. Maka, malam itu bermulalah Ramadhanku yang entah ke berapa kali, berjauhan dengan keluarga, ya, keseorangan, tak mampu untuk gambarkan dengan tulisan, hanya air mata sering menjadi teman sambil hati memujuk diri, Allah takkan uji hambaNya melainkan hamba tersebut mampu menempuhinya dengan jaya.

Sepanjang Ramadhan, tugasku bukan hanya berulang alik ke surau untuk melunaskan tugas sebagai imam terawih, Namun, gerak kerja yang berbaki mesti dilaksanakan juga walau jawatan sudah lama tamat tempohnya, Jujur, cuti yang ada selepas diploma hanya dapat dirasai beberapa minggu sahaja, sangat cemburu dengan sahabat-sahabat lain yang mula menikmati gaji kerja, kelas ilmu di pondok, diskusi, wacana, tetapi aku? hanya mampu memujuk diri yang masa itu pasti akan diganti olehNya. Pengorbanan? aku rasa benar, kerana inilah kepahitan yang kita telan. Gerak kerja mendesak untuk ke sana sini, berhabis wang ringgit, tapi insya Allah, rezeki itu milik mutlak Allah. Ada sahabatku yang terpaksa meminjam wang daripada partner imam terawih, dan bila tiba pertengahan Ramadhan, sudah kehabisan wang. Percayalah sahabatku, Allah Maha Menyaksikan pengorbananmu itu. Percayalah, kehidupan akhirat kekal dan abadi, tanpa masa, selama-lamanya. Berbuka puasa di atas kereta, menjadi suatu kelazatan, nikmat ukhuwah umpama ulam dan budu, tiada terpisah. Terkadang, aku kelam kabut pulang ke rumah, semata ingin merasai makanan yang ada di rumah. Beberapa kali hampir kemalangan, namun Allah Maha Melindungi.

Di saat berada dalam kesempitan dan kepayahan, sentiasa ada kesenangan dan kemudahan. Itu adalah lumrah alam yang pasti. Dalam tekanan, adanya makan yang sangat lazat, dalam keletihan, adanya minuman yang menyegarkan, dalam kesempitan wang, adanya tangan yang mengurangkan beban. Segalanya saling bergandingan. Indah.

Kamar Itu, 7/8/2013

20.4.13

Apakah Ini?

Beberapa hari lepas, aku mendapat berita bahawa permohonan aku untuk ke Jordan telah diterima oleh Kementerian Pengajian Tinggi, aku menarik nafas lega dan mengatakan ini satu khabar gembira, alhamdulillah. Terus aku maklumkan kepada akak aku, seronok dia dan terus beritahu pada suaminya. Kemudian di post status di facebook dan menelefon ayahku, seronok dan seronok. Begitulah tindakannya, gembira tak terkata, terasa puas dan bangga dapat menjagaku sejak kecil. Aku sebenarnya agak tergamam, apakah betul berita ini. Ya, benar. Sebelum ini pun aku sudah diberitahu bahawa peluang aku sangat tinggi untuk diterima memandangkan peratus subjekku mencecah 95.5%. Hanya 8 lelaki dan 10 perempuan sahaja yang diterima ke Jordan untuk kuota bagi Darul Quran. Sekali lagi aku mengucap syukur, alhamdulillah.

Aku tidak mahu terburu-buru menyebarkan berita ini, bimbang mengguris hati-hati sahabatku yang tidak terpilih. Aku tidak mahu dikatakan berlagak dan terlalu yakin dengan keputusan itu. Rasa sedih juga bila beberapa orang sahabatku tidak dapat menyambung pengajian di sana. Kali ini KPT juga mengetatkan syarat-syarat untuk layak memohon. Ada seorang sahabat aku yang menghantar mesej di facebook, menyatakan kekecewaan terhadap semua ini. Begitulah, mahu tidak mahu, kehidupan perlu diteruskan. Kita perlu sentiasa positif dalam mencari jalan keluar terhadap setiap permasalahan yang dihadapi. Soal positif semua ini, ianya boleh dihuraikan dengan sangat panjang lebar. Sudah lama ia begitu tersimpan di dalam benak minda aku. Cuma kali ini ada ruang blog, kita dapat berkongsi jua.

Sejak sekolah menengah, pelbagai janji telah aku taburkan di hadapan Tuhan. Janji untuk berubah menjadi insan yang lebih baik setiap kali memperoleh keputusan peperiksaan yang baik atau mendapat durian runtuh. Rupa-rupanya, aku ini diktator senyap bagi diriku. Betapa munafiknya aku dapat dirasakan setiap hari, setiap masa. Kita umpama menipu diri sendiri. Tanpa orang mengetahui. Janji dengan rakyat pun sudah dikira besar, apatah lagi janji dengan Tuhan. Mungkin kalian maseh mencari kaitan antara tajuk di atas dengan huraian sebegini. Tidak mengapa, di akhirnya kita akan persetujui bersama-sama. Setiap rezeki yang berlalu, kita umpama disegarkan kembali rasa bermuslim. Bila ditimpa musibah, seolah-olah ia lampu hijau untuk kita membuat maksiat. Benarkah cara kita merespon masalah dengan sebegitu cara?

Kita tidak serik untuk menabur lagi janji di hadapan Tuhan. Kita taubat dengan pura-pura. Kita tidak menghargai keluasan pintu rahmat Tuhan. Kita menipu, menipu dengan Tuhan. Tetapi, manakan bisa yang dicipta menipu Sang Pencipta. Kita teruskan kehidupan, bertahan dan bertahan. Namun, jatuh tetap juga menjadi turun naik dalam rencah perjalanan hidup. Menyebabkan kita mencari di manakah kebahagiaan yang sebenar. Aku tidak lagi mampu menghadam karya Prof Naquib Al-Attas berkenaan apa itu faham 'As-Saadah' sesuai dengan kerangkan pemikiran Islam. Masih terlalu berat bagiku, seorang umat Islam yang sangat pemalas. Macam manakah semua ini harus diterjemahkan?

Sering, kita mudah mentafsirkan setiap kebaikan yang kita peroleh merupakan satu sumbangan yang total daripada kita. Kita sering terlupa atau buat lupa bahawa setiap perkara yang berlaku merupakan keizinan daripada Allah tanpa menafikan kepentingan untuk kita berusaha dalam merobah sesuatu perkara. Itulah yang menyebabkan kita menyambut kurniaan Ilahi dengan hadiah maksiat, tiada langsung rasa syukur atau rasa hiba dalam merasa kemanisan rahmat Allah. Kita berada dalam kesesatan yang tersembunyi. Kita risau apakah ini satu kebaikan yang okey atau hanya istidraj daripada Allah untuk menjauhkan kita lagi dari rahmatNya. Aku risau dan bergetar hati. Hari yang berlalu, persoalan yang sering berputar dalam kepala, ya Allah, apakah ini?

8.4.13

Tersenyum Kelat

Baru-baru ini berkesempatan untuk bermusafir dengan beberapa orang sahabat. Itulah kemanisan yang tidak saya rasai sewaktu sekolah rendah dan sekolah menengah. Pengalaman dan cabaran sangat mematangkan kita. Di situlah kita cuba membina pendirian dan harapan agar kita mampu berpegang teguh pada sesuatu. Namun, tiang atau prinsip Islam sudah ianya menjadi dasar pegangan kita. Segala aktiviti dilakukan secara bersama sama ada makan minum, tidur, dan semestinya solat berjemaah. Nikmat keimanan dan ketenangan sangat terasa walaupun ia  menjengah sementara bergantung juga pada pemikiran masing-masing. Adakalanya, masalah lain sentiasa menuruti kita ke mana jua.

Dalam hiruk pikuk bersembang mesra, pelbagai tajuk dikongsikan secara hangat. Daripada hal yang kecil sehinggalah sebesar-besar agenda, lagak menteri katanya.  Antara topik yang dilontarkan adalah mengenai sambung pelajaran, perancangan masa hadapan, perkahwinan, calon isteri, dan perkara-perkara yang tentunya agak memualkan bagi yang hidupnya penuh dengan kebosanan dan buruk sangka. Sesekali sembang, terkadang khilaf pendapat, sunyi sebentar, cuba menelan perbezaan pendapat, 5 minit berlalu, tajuk yang lain bertukar ganti. Senyum dan gelak menjadikan keadaan kembali ceria. Setiap tajuk dibincangkan secara terperincin dalam suasana yang harmoni, alangkah indahnya jika setiap organisasi mengamalkan perbincangan sebegini. Inikan tidak, seorang bercakap, yang lain diam. Jauhnya panggang dari ayam perap.

Sedang ralik berbincang mengenai perancangan masa hadapan (rumah tangga?), cinta manusia, dan sekeping ijazah, bermacam-macam anggaran tahun yang dirancangkan. Ada yang mahu kahwin awal, ada yang masih mencari sama ada mahu gunakan khidmat swasta atau kerajaan, ada yang mahu menuntut ilmu terlebih dahulu. Ada yang mahu kahwin pada usia begini, beli rumah begitu. Seolah-olah pengarah filem yang sedang merancang pergerakan pelakon, kesemuanya terperinci beserta dialog. Ya, filem kehidupan yang kita cuba cuci gulungan rakamnya. Semuanya tersenyum riang, seolah-olah segalanya bakal terjadi esok hari, sebolehnya mahu ia berlaku secara pantas dan cepat. Tetapi, suatu suara cuba memecah kegembiraan kami, 'seronok ya kita merancang itu dan ini, tapi jangan lupa, ada satu adegan yang tidak dapat kita rancang, iaitu bilakah kita akan mati?'. Astaghfirullah, kami terkejut dan tersentak. Kegembiraan yang masih berbaki, diakhiri dengan senyuman. Yang juga kelat.

7.4.13

Jatuh Dan Bangun, Jatuh Semula?

Manusia tidak terlepas dalam menempuhi kekecewaan dalam kehidupan. Bentuknya yang pelbagai, ujian yang diberikan mengikut tahap keimanan masing-masing. Begitulah nilai yang harus dijamah oleh kita sebagai insan. Pepatah Arab cuba berkata dengan positif, hanya orang gila yang kosong dengan masalah. Kita jatuh dan kalah dengan ujian, kita tewas dengan kemaksiatan, tidak serik, kita ulang dan ulang ia. Maksiat, kelazatan yang tak terperi, itulah manisan yang nampak di mata apatah lagi sememangnya berbekas di hati kita. Kita jatuh dan kekal aktif dalam arena kemaksiatan, berlumba siapakah yang paling dominan kejahatannya. Itu karakter kejahatan yang ada juga pada kebaikan. Hasad dengki, marah, benci, mengumpat, mata, telinga, mulut, perkataan, perbuatan, semuanya punyai nilaian di sisi kita dan orang lain.

Menemani diri, sambil mendengar lagu Fursan-Keinsafan Diri, lirik yang lembut ditutur tapi sangat halus menikam pendengarnya. 'Betapa rimbunnya dosaku, semua terlakar di lembah usiaku'. Dosa dan noda yang begitu rendang merimbun, semuanya terkumpul sepanjang usia. Manusia manakah yang suci daripada dosa dan maksiat. Sedangkan ulama yang begitu berilmu seringkali dijentik barah keegoan dan kesombongan, apatah lagi kita yang manusia biasa ini. Maksiat menjadi rutin harian yang tanpanya kita lemah tubuh badan. Kejahatan dan dosa telah sebati mengalir dalam pembuluh darah. Di celahan kecamuk konflik ini, kita tahu ada yang sedang berusaha untuk lakukan sesuatu.

Setelah jatuh, bangun lah teman akrabnya. Hatta manusia yang mati, bangunnya juga ada iaitu di akhirat kelak. Bangun yang ingin dimaksudkan di sini adalah islah, iaitu usaha untuk membaik pulih semula kerosakan yang telah melanda diri kita. Kita mula rapat dengan Ilahi dan apa sahaja yang dirasakan ianya islamik. Masjid, jubah, serban, tasbih, tazkirah, kuliah, ana, anta, antum, astaghfirullah, subhanallah, dan lain-lain. Berdikit cuba menghirup mencari kemanisan iman walaupun di kala solat fikiran memikirkan di mana letaknya kunci motor, bilakah perlawanan bola sepak, salah tajwid yang dibaca oleh imam, dan pelbagai lagi imej yang munculnya hanya waktu solat. Tenang dan tidak diganggu oleh suara lain. Ya, memanglah, dah tak khusyuk. Begitu parah kita merasuah minda kita dengan berangan di kala berhadapan dengan Tuhan. Ya, kita tidak lagi merasa Tuhan di hadapan. Kalaulah di kala solat pun tidak merasa kehadiran Tuhan, di luar solat bagaimana pula? Itulah tiang agama, benda yang paling asas, paling fundamental.

Begitulah usaha seorang pemaksiat yang ingin bangun, kembali pada Tuhannya yang tidak pernah 'jatuh' mengurniakan rezeki kepadanya. Lemah sungguh kita ini. Buat maksiat suka-suka, taubat suka-suka, lepas tu suka-suka buat maksiat semula. Hidup itu suka-suka, suka-suka untuk hidup, lepastu malaikat maut memang suka nak ambil nyawa kau semula. Habis riwayat. Itulah laras yang ingin dibawa oleh tajuk di atas, jatuh, bangun, kemudian jatuh semula. Lemah manusia. Jika lemah syahwat, heboh satu rumah, lemah akademik, habis semua tuisyen ditempah, lemah otak, diratah kesemua kismis minda yang ada tapi jika lemah iman, boleh disimpan sebagai draf dulu. Boleh difikirkan esok hari. Oh, terlupa, mati juga sememangnya boleh ditangguh, begitu ke? Benar kata Imam Al-Ghazali, bahagia yang sebenar adalah apabila kita dapat merasai kecintaan terhadap Allah, kita tunai perintah Dia, dan kita jauhi segala laranganNya. Dalam Tasauf Moden, Buya Hamka membuat beberapa penelitian terhadap beberapa pandangan sarjana Barat serta perbezaan di antara kesemua pendapat. Sememangnya manusia menagih kebahagiaan dan sekiranya ia ditafsirkan secara akal sahaja, kita tidak akan ke mana-mana, bahkan tersesat mencipta angan sendiri. Nafsu tidak pernah puas!

Akalku begitu bermudah semacam menghina manusia yang ingin kembali kepada Tuhan. Sebenarnya, aku sedang menghina diriku sendiri. Seorang teman pernah berpesan, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Ya, itu sebenarnya pesan Yang Maha Agung, yang takkan pernah mengecewakan para hambaNya. Jatuh bangun yang berulang kali tidak mampu mengusik pintu taubat yang masih terbuka luas. Kini manusia setia mengira bulan Ramadhan yang semakin hampir, Aku termenung, mampukah aku menjadi lepasan tarbiah Ramadhan. Ujiannya sangat berat, apatah lagi buat diriku yang lepasan sekolah 'jatuh-bangun-jatuh', sudah tentu perlukan persiapan yang mencukupi untuk menjengah di jendela Ramadhan. Akhir karutan, jatuh bangun umpama teman setia, tanpa salah satu, kita akan jadi terlalu bangga atau terlalu kecewa dengan roda kehidupan ini.